Monday 2 May 2011

Masih Adakah Rumah Mampu Milik Skim Rumah Pertamaku Di Sekitar Lembah Klang?

Kepada: Penerbit Sekmen Hartanah TV3 Berita TV3.

Assalamualaikum;

1. Saya tertarik dengan sekmen di dalam Berita TV3 jam 8.00 malam hari ini (yakni 2 Mei 2011) yang berkaitan dengan Skim Rumah Pertamaku. Sebagai Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (Malaysian Institute of Planners), saya terpanggil untuk menulis dan memberikan komen yang berkaitan dengan keadaan perumahan yang ada khususnya di sekitar Lembah Klang.

2. Walau pun skim ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 9 March 2011 bagi gulungan muda yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulam dan boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun, tetapi stok perumahan yang sesuai dari aspek lokasi, saiz dan mampu milik di sekitar Lembah Klang ini nampaknya semakin sukar diperolehi.

3. Tinjauan saya ke beberapa pusat pasaran hartanah dan juga pejabat-pejabat jualan hartanah di sekitar Lembah Klang juga mendapati kebanyakan penawaran perumahan adalah berbentuk rumah kos sederhana tinggi dan mewah. Skim-skim perumahan yang ditawarkan di sekitar Bangi, Kajang, Shah Alam, Seri Kembangan, Subang, Sungai Buluh, Bukit Jelutung, Klang, Meru hinggalah ke Putra Jaya oleh pemaju-pemaju perumahan didapati kosnya telah meningkat dengan mendadak. 


4. Pada tahun 2010 harga rumah teres dua tingkat adalah sekitar RM400,000 hingga RM500,000 seunit dan telah meningkat kepada RM600,000 hingga RM1juta seunit (mengikut lokasi dan kemudahan infrastruktur yang disediakan) pada bulan Mei 2011. Kenaikan kos ini telah menyamai harga pasaran perumahan di sekitar Kuala Lumpur.

5. Kenaikan yang begitu ketara ini tidak melambangkan suatu keupayaan pemilikan Skim Rumah Pertamaku oleh gulungan-gulungan muda yang baru menghabiskan pengajian mereka di universiti-universiti dengan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Ini bermakna ruang-ruang pemilikan rumah mampu milik kumpulan sasaran ini semakin terhad dan terhakis di sekitar Lembah Klang. Mereka akan hanya mampu membeli rumah-rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah yang ditawarkan kepada gulungan yang berpendapatan rendah. Ini seterusnya akan mengugat peluang-peluang pemilikan perumahan oleh gulungan berpendapatan rendah pula.

6. Saya tidak pasti apakah kenaikan harga rumah yang begitu mendadak di sekitar Lembah Klang ini adalah diakibatkan oleh permintaan perumahan yang begitu tinggi, adaptasi reka bentuk yang lebih canggih dan berteknologi tinggi dari aspek 'Green Building' atau pun ianya hanya merupakan manipulasi harga oleh mereka (pemaju atau pun individu tertentu) yang tidak bertanggungjawab! 


7. Pihak berkuasa harus mengambil langkah untuk membendung kenaikan harga rumah yang mendadak di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Selangor. Apa yang harus dibuat ialah mengenalpasti skim-skim perumahan yang telah dikelaskan sebagai Skim Rumah Pertamaku dan dikawalkan kenaikan harga nya oleh satu badan tadbir-urus yang khusus. Jika ianya tidak segera dilakukan maka kumpulan sasaran Skim Rumah Pertamaku akan menghadapi kesulitan untuk terus bekerja dan tinggal di bandar-bandar besar di sekitar Lembah Klang. Mereka mungkin perlu tinggal lebih jauh dari kawasan Lembah Klang atau pun mula mendiami kawasan-kawasan setinggan yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor!

8. Saya menyeru kepada semua pihak agar segera bertindak di dalam mengawal kenaikan harga rumah yang begitu mendadak melangkaui matlamat wawasan 2020 yakni negara berpendapatan tinggi. Apakah kita mahu harga seunit Skim Rumah Pertamaku berada dalam lingkungan RM1juta? Jika jawapannya 'tidak' maka kawallah harganya dari sekarang dan jika jawapannya 'ya' maka pastikanlah tangga gaji graduan-graduan baru berada di paras kompetitif agar mereka berupaya memiliki Skim Rumah Pertamaku yang mahal!

Sekian, terima kasih.

Professor Dr Alias Abdullah
Presiden, Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP)

Friday 29 April 2011

WELCOME TO MIP PRESIDENT BLOG!

Salam and greeting to all friends and colleagues.

This is my first time creating a blog for me to communicate and exchange ideas and knowledge with all fellow town planners, professionals, students, NGOs, local authorities, friends and colleagues in Malaysia and around the world on matters pertaining to town (urban) planning, sustainability, urbanism, urban design and conservation, ICT and GIS (Geographical Information Systems) technologies in planning, planning education, planning practices, etc.

From time to time I will be writing and giving my views and comments on matters, news and events which are occurring in Malaysia and elsewhere. I will be also updating programs and events to be undertaken by the Malaysian Institute of Planners (MIP) within my tenure as the President of MIP. I do hope that we can exchange ideas and knowledge to enhance town planning profession particularly in Malaysia.

See you again.

Cheers!

Professor Dr Alias Abdullah
30 April 2011